Foto The Star
Mahkamah diberitahu hari ini bahawa syarikat perunding yang
sepatutnya menerima RM10 juta komisen hasil pembelian Hotel Merdeka Palace di
Kuching oleh Felda diminta menyerah balik RM9 juta bagi tujuan 'political fund'
di Sarawak.
Pengarah JV Evolution Sdn Bhd, Azizi Abd Wahab memberitahu
bahawa beliau bersama rakan kongsi perniagaan Mazeed Abd Wahab bersetuju
menerima hanya RM1 juta sebagai komisen dan bakinya RM9 juta diserah balik
kerana penglibatan syarikat mereka kurang dalam proses penjualan Hotel Merdeka
milik Gegasan Abadi Sdn Bhd.
Loading...
"Selepas syarikat JV Evolution dilantik sebagai ejen
penjualan, sekitar bulan April 2014, saya dan Mazeed berjumpa dengan Ikhwan di
rumah beliau Sunway Opal Kondominium, Petaling Jaya.
"Dalam pertemuan itu, Ikhwan memberitahu tentang
komisen sebanyak RM10 juta di mana JV Evolution (hanya) akan terima RM1 juta
daripada jumlah RM10 juta atas alasan kurang pengelibatan (dalam urusan
penjualan Hotel Merdeka Palace).
"Saya dan Mazeed bersetuju," kata Azizi ketika
membaca pernyataan keterangan dalam perbicaraan bekas pengerusi Felda Mohd Isa
Abdul Samad atas tuduhan salahguna kuasa dan menerima rasuah RM3 juta di
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Azizi yang juga saksi pendakwaan ke-17, Ikhwan juga
meminta mereka supaya menyerahkan kembali RM9 juta daripada baki komisen untuk
tujuan "political funds" (dana politik) di Sarawak.
loading...
"Daripada RM9 juta itu, Ikhwan akan mendapat RM6.75
juta kerana selepas mengambil kira penolakan cukai perniagaan JV
Evolution," jelasnya lagi.
Ikhwan Zaidel merupakan bekas pengarah Gegasan Abadi yang
juga merupakan individu yang bertanggungjawab membayar RM3.09 juta kepada Isa
Samad melalui Zahid Md Arip (gambar, bawah), bekas pembantu khas Isa.
Ikhwan sebelum ini sebagai saksi pendakwaan ke-16
memberitahu mahkamah bahawa beliau membayar RM3 juta kepada Isa Samad melalui
Zahid dalam sembilan ansuran bermula Julai 2014 hingga Disember 2015.
Ikhwan turut mengesahkan bahawa selain bayaran pertama
sebanyak RM100,000, kesemua bayaran lain dibuat hasil wang diterima daripada
Azizi dan Mazeed.
Terdahulu, Azizi, 53, juga memberitahu mahkamah bahawa
beliau merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan Zahid kepada
Ikhwan.
Katanya beliau mengenali Ikhwan sekitar Julai 2013, ketika
mengerjakan Umrah, di mana Ikhwan menceritakan bahawa dia adalah pemilik Hotel
Merdeka Palace dan sedang mencari pembeli untuk hotel itu.
"Saya cadangkan kepada beliau kenapa tidak cuba
syarikat GLC kerajaan seperti Tabung Haji dan Felda. Beliau tanya kalau saya
kenal sesiapa di Tabung Haji dan Felda.
"Saya cakap saya ada seseorang di Felda, Zahid Md Arip
cuma pegawai khas kepada Tan Sri Isa Samad," kata Azizi.
Tambahnya, pada September 2013, beliau membawa Ikhwan
bertemu Zahid di Menara Felda.
"Ketika pertemuan, Ikhwan memaklumkan kepada Zahid niat
beliau untuk membuat tawaran penjualan Hotel Merdeka Palace kepada pihak
Felda," kata Azizi sambil menambah Ikhwan turut menyerahkan kertas
cadangan penjualan kepada Zahid.
Susulan pertemuan itu, Ikhwan mendapatkan persetujuan
lembaga pengarah Gegasan Abadi untuk melantik syarikat Azizi (JV Evolution)
yang ditubuhkan pada Oktober 2013.
JV Evolution dilantik sebagai perunding dengan janji
sekiranya dapat jual hotel itu melebihi RM150 juta, bakinya akan dimasukkan ke
JV Evolution sebagai komisyen.
Untuk rekod, Felda Investment Corporation (FIC) membeli
Hotel Merdeka Palace di Kuching dengan harga RM160 juta.
Pada 18 Okt lalu, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) FIC
Mohd Zaid Abdul Jalil memberitahu mahkamah Isa Samad memintanya untuk
meletakkan harga RM160 juta bagi pembelian hotel itu selepas mengambil kira
'goodwill' walaupun nilai pasaran hotel ditetapkan kepada RM153 juta
sahaja. - Malaysiakini


