Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak telah memulakan
tindakan undang-undang terhadap kumpulan perbankan Ambank Group dan seorang
bekas eksekutifnya yang didakwa mendedahkan maklumat perbankan Najib secara
salah kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau lebih dikenali
sebagai Jho Low.
Peguam Najib, Muhammad Farhan Shafee, berkata ahli politik
itu memfailkan saman tersebut kerana kerana Ambank dan bekas pengurus
perhubungannya, Joanna Yu Ging Ping, telah mematuhi arahan Jho Low dalam
menjalankan urusan berkaitan tiga akaun bank Najib di Ambank.
Loading...
Farhan berkata saman itu telah difailkan di Mahkamah Tinggi
Kuala Lumpur pada Isnin dan menamakan AMMB Holdings Bhd, AmBank Islamic Bhd dan
Yu sebagai defendan.
Difahamkan, Najib yang merupakan ahli Parlimen Pekan,
menuntut ganti rugi daripada ketiga-tiga defendan. Bagaimanapun, jumlah ganti
rugi itu akan ditentukan kemudian.
“Saman yang difailkan ini adalah berkenaan pelanggaran
tanggungjawab oleh pihak bank dan Puan Yu yang bertindak di luar skop amalan
perbankan standard dengan mengambil arahan daripada orang yang tidak dibenarkan
seperti Jho Low, serta mendedahkan maklumat perbankan kepadanya.
“Daripada mesej Blackberry Messenger yang telah dilihat
semasa perbicaraan kes SRC, sesetengah daripada arahan Jho Low yang
dilaksanakan telah menghalang ‘red flags’ daripada dikeluarkan Bank Negara
Malaysia serta Akta Anti-Pengubahan Wang Haram (Amla).
“Sekiranya amaran-amaran ini dikeluarkan, Datuk Seri Najib
pastinya akan dimaklumkan secepat mungkin mengenai status akaun-akaun beliau
dan seterusnya mengambil tindakan campur tangan.
“Sebaliknya, perkara ini telah dirahsiakan daripada beliau,”
kata Farhan.
Tambahnya, institusi kewangan dan pegawai itu tidak
sepatutnya bertindak sedemikian kerana Jho Low bukanlah orang yang diberi kuasa
oleh Najib untuk menguruskan akaunnya di Ambank, oleh itu, mereka telah
melanggar tanggungjawab di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 serta Akta
Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989.
Farhan merujuk kepada keterangan Yu semasa menjadi saksi
dalam perbicaraan kes membabitkan SRC International, yang menyaksikan bekas
Presiden Umno itu berdepan tujuh pertuduhan berkaitan dana RM42 juta (AS$10
juta) yang didakwa telah diseleweng daripada anak syarikat 1MDB (1Malaysia
Development Berhad) itu.
Kesemua wang didakwa telah dimasukkan ke dalam tiga akaun
bank Najib yang dibuka dengan Ambank Islamic Bhd pada Ogos 2013.
Semasa Yu tampil memberi keterangan dalam perbicaraan kes
membabitkan SRC International sebagai saksi ke-54 pendakwaan, mahkamah
dimaklumkan bahawa beliau ada berkomunikasi dengan Jho Low dan menerima arahan
daripada ahli perniagaan itu.
Ini termasuk tindakan membetulkan jumlah baki dalam akaun
Najib untuk mengelak cek yang dikeluarkan bekas perdana menteri itu tidak
ditendang oleh Ambank.
Sementara itu, dalam satu pengumuman kepada Bursa Malaysia
pada Selasa, AMMB Holdings berkata syarikat tersebut dan Ambank Islamic Berhad,
yang merupakan anak syarikat milik penuhnya, akan menentang saman berkenaan.
Syarikat itu juga mendakwa mereka telah melantik peguam
untuk mempertahankan Ambank daripada semua dakwaan yang terdapat dalam saman
terhadap mereka.
Najib Nafi Halang SRC Kemuka Maklumat Kepada KWAP
Sementara itu, perbicaraan kes SRC yang masuk hari ke-62
pada Selasa menyaksikan Najib, yang juga bekas Menteri Kewangan Malaysia, buat
pertama kalinya disoal oleh pihak pendakwaan.
Memulakan keterangan dari kandang saksi pada minggu lalu
dengan membacakan kenyataan bertulis, Najib telah menjawab soalan tambahan
ketua pasukan pembelaannya, Muhammad Shafee Abdullah, sebelum sesi pemeriksaan
diambil alih oleh Peguam Negara Tommy Thomas pada pagi Selasa.
Ketika menjawab soalan Thomas, Najib menafikan bahawa beliau
telah menolak permohonan SRC International untuk mengemukakan maklumat lanjut
berkaitan syarikat itu kepada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) pada 2011.
KWAP telah meminta Ketua Pegawai Eksekutif SRC
International, Nik Faisal Ariff Kamil, mengemukakan beberapa maklumat yang
diperlukan bagi memproses permohonan pinjaman sebanyak RM2 bilion oleh SRC.
Dalam sesi perbicaraan sebelum ini, pihak pendakwaan telah
mengemukakan satu siri e-mel antara Nik Faisal dan pegawai KWAP yang
menyaksikan Nik Faisal mendakwa beliau tidak dibenarkan untuk berkongsi
maklumat tanpa kebenaran Pengerusi Lembaga Penasihat SRC iaitu perdana menteri.
Bagaimanapun, Najib berkata Nik Faisal tidak pernah merujuk
perkara itu kepadanya.
“Kalau dia rujuk pada saya, sebenarnya saya akan minta dia
berikan semua maklumat yang diperlukan oleh KWAP,” kata beliau.
“Kalau dia (Nik Faisal) gunakan nama saya, apa yang saya
boleh buat? Saya tidak setuju cara begini,” tambahnya ketika diasak Thomas.
Selain itu, mahkamah dimaklumkan bahawa Najib telah
menggunakan kad kredit peribadi untuk membeli seutas jam tangan bernilai lebih
RM466,000 (AS$107,172) untuk isterinya, Rosmah Mansor, pada 2014.
Najib memberitahu mahkamah bahawa beliau membuat pembelian
itu di Hawaii sebagai hadiah hari lahir Rosmah kerana terpaksa memendekkan
percutian mereka di Honolulu untuk pulang ke Malaysia bagi melawat mangsa yang
dilanda banjir teruk ketika itu.
Selain tujuh pertuduhan membabitkan SRC International, Najib
berdepan 35 pertuduhan jenayah lain yang berkaitan dengan 1MDB.
Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara dan
denda berjumlah jutaan ringgit. - Benarnews


