Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan
kemungkinan rombakan kabinet dilakukan susulan kekalahan Pakatan Harapan (PH)
pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai.
Pengerusi PH merangkap Pengerusi Bersatu itu bagaimanapun
berkata keputusan mengenainya "tidak akan dilakukan hari ini atau
esok".
Loading...
"(Ia akan dibuat) selepas kita mengkaji pencapaian dan
kebolehan menteri-menteri yang ada sekarang ini dan selepas itu barulah kita
bincang tentang kemungkinan mengadakan rombakan kabinet ini," katanya pada
sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi
Bersatu di sini hari ini.
Dalam mengambil sebarang langkah ke arah rombakan kabinet,
Dr Mahathir mengakui beliau perlu berdepan dengan kekangan tertentu.
"Kekangannya ialah walaupun saya perdana menteri, saya
perlu memberi pertimbangan kepada parti-parti komponen (PH), saya tak boleh
dengan begitu mudah menukar atau menggugurkan mana-mana pihak.
"Sebab itu ia akan mengambil masa sedikit," kata
beliau.
loading...
Menyentuh kekalahan PH di Tanjung Piai, Dr Mahathir berkata
ia mungkin antara lain "kerana parti kita baharu, belum cukup matang lagi,
belum susun parti dengan cukup lengkap di Tanjung Piai dan tempat-tempat
lain".
Menurutnya, turut ditimbulkan di Tanjung Piai ialah isu kos
sara hidup yang tinggi, keadaan ekonomi, bantuan kepada rakyat dan sebagainya.
"Akhirnya kita berpendapat ada perlunya kita mengadakan
rombakan kabinet," kata Dr Mahathir.
"Saya sebagai perdana menteri bertanggungjawab
berkenaan rombakan kabinet, sebab itu saya dengar pandangan mereka (ahli Majlis
Pimpinan Tertinggi Bersatu), dan saya akan memberi pertimbangan terhadap
desakan supaya kita adakan rombakan kabinet," kata Dr Mahathir.
Sementara itu, perdana menteri berkata tiada perubahan
radikal akan berlaku sebelum Malaysia menjadi hos Sidang Kemuncak Kerjasama
Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang dijadual berlangsung pada November tahun
hadapan.
"Saya berpendapat bahawa banyak lagi kerja yang perlu
dibuat dan tahun depan kita akan menjadi tuan rumah kepada mesyuarat
APEC," katanya sambil menegaskan persidangan antarabangsa itu adalah
penting dan tidak boleh diambil ringan.
"Saya tidak mahu perubahan terlalu banyak berlaku kerana
kita perlu membuat persiapan yang diperlukan kerana ia (APEC) melibatkan banyak
negara. Kita perlu berhati-hati," kata perdana menteri.
Sementara itu, Dr Mahathir mengakui bahawa banyak rancangan
yang dilancarkan kerajaan PH akan mengambil masa sebelum ia membuahkan hasil.
Namun, beliau berkata banyak juga perubahan yang dilakukan
oleh PH untuk menjadikan pentadbiran kerajaan lebih berkesan, termasuk
mengurangkan amalan rasuah.
Mengenai pertemuan antara Timbalan Presiden PKR Datuk Seri
Mohamed Azmin Ali dengan sekumpulan ahli Parlimen pembangkang baru-baru ini, Dr
Mahathir berkata perkara itu perlu diselesaikan di peringkat PKR sendiri.
Menyifatkan perkara itu sebagai masalah dalaman PKR, perdana
menteri mencadangkan parti itu menyelidik punca pertemuan tersebut diadakan.
“Saya belum bercakap dengannya lagi. Saya tidak tahu kenapa
ada pertemuan, ia melibatkan parti lain juga," tambahnya. - Bernama


