Penutupan operasi kilang memproses nadir bumi Lynas Malaysia
Sdn Bhd (Lynas) tidak terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) seperti
yang sering dibangkitkan, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan
Yusof.
Justeru beliau berkata semua ahli parlimen kerajaan perlu
menghormati keputusan kerajaan untuk meneruskan projek terbabit serta mengelak
daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan rasa tidak selesa di
kalangan penduduk di kawasan terlibat.
Loading...
"Tidak pernah ada dalam manifesto PH untuk tutup Lynas
pada Pilihan Raya Umum ke-14. Semua orang boleh tengok dan semak kalau ada.
"Saya minta rakan-rakan dalam PH janganlah bangkitkan
perkara ini sehingga timbulkan rasa tidak selesa kepada penduduk kerana pakar
sudah sahkan kilang ni selamat," katanya kepada pemberita selepas
menghadiri Himpunan Usahawan Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.
Seramai 200 usahawan dari seluruh negeri menyertai program
tersebut yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu
(DPMMT).
loading...
Dalam perkembangan lain, Mohd Redzuan berkata Pihak Berkuasa
Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) perlu mengkaji semula undang-undang yang
memerlukan operator dron mendapatkan kelulusan untuk penerbangan walaupun untuk
tujuan percubaan.
Menurut beliau CAAM sepatutnya memberi kelonggaran dalam
sesetengah keadaan bagi menggalakkan perkembangan industri aeroangkasa sekali
gus menggalakkan lebih ramai usahawan menceburkan diri dalam bidang berkaitan.
Sehubungan itu beliau mencadangkan supaya diwujudkan
persekitaran atau undang-undang yang menyokong perkembangan industri
aeroangkasa kerana Malaysia sudah agak jauh ketinggalan.
Dalam pada itu, Mohd Redzuan yang juga anggota parlimen Alor
Gajah berkata beliau tidak mempunyai masalah sekiranya digugurkan daripada
jawatan menteri kabinet yang disandangnya pada masa ini.
Beliau berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohd mempunyai
kuasa penuh untuk melantik atau menggugurkan mana-mana menteri berdasarkan
penilaian ke atas prestasi masing-masing.
"Saya cuma menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan
untuk berkhidmat kepada rakyat sejak 2 Julai tahun lalu," katanya.
- Bernama


