Mahkamah hari ini diberitahu Muhyiddin Yassin dipecat
daripada jawatan timbalan perdana menteri selepas beliau membangkitkan terlalu
banyak soalan berkaitan dana 1MDB pada 2015.
Bekas Ketua Setiausaha Negara Dr Ali Hamsa, 64, berkata
bekas Peguam Negara Abdul Gani Patail juga dipecat daripada jawatannya pada
Julai tahun berkenaan disebabkan perdana menteri ketika itu, Najib Razak, telah
hilang keyakinan terhadap ketua penasihat undang-undangnya.
Loading...
Ali semasa menjelaskan perkara itu berkata Muhyiddin - yang
merupakan Menteri Dalam Negeri ketika itu - lantang bersuara dalam kabinet.
"Apabila duduk dalam mesyuarat kabinet, kami dapat
lihat ada perbalahan, kebanyakannya dari satu pihak sahaja. Muhyiddin yang
membangkitkan banyak persoalanan dalam kabinet, kami tahu ada sesuatu yang
dibangkitkan,” katanya.
Saksi keempat pendakwaan itu berkata demikian semasa disoal
ketua pendakwaan, Gopal Sri Ram, pada hari kedua perbicaraan Najib dan bekas
ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, berhubung dakwaan
meminda laporan akhir audit syarikat pelaburan milik kerajaan itu.
Ditanya reaksi tertuduh terhadap semua soalan yang
dibangkitkan Muhyiddin, Ali berkata Najib kelihatan tenang semasa mesyuarat
kabinet dan ada sesetengah soalan dijawabnya, manakala yang lain dijawab oleh
menteri kewangan kedua.
loading...
Ditanya apa terjadi kepada Muhyiddin selepas bertanya
soalan-soalan itu, Ali berkata: “Saya rasa beliau dipecat dari jawatannya”.
Sri Ram: Anda (ketika itu) adalah ketua setiausaha kepada
kabinet, kepada negara, kepada kerajaan. Anda memberi bukti bahawa Muhyiddin
bertanyakan soalan berhubung 1MDB dalam kabinet, dan jawapan juga telah
diberikan. Anda juga sebentar tadi berkata dia (Muhyiddin) dipecat dari jawatan
timbalan perdana menteri. Adakah anda mempunyai apa-apa pengetahuan mengenai
fakta-fakta yang berkaitan pemecatan itu?
Ali: Kenyataannya, dan juga pemecatan itu.. ia di luar
pengetahuan saya kerana ia adalah hak prerogatif perdana menteri (Najib).
Sudah tak yakin lagi
Semasa diminta memberi penjelasan mengenai suasana keadaan
semasa Abdul Gani meninggalkan pejabatnya, saksi itu berkata, perdana menteri
"telah hilang keyakinan terhadapnya".
“Sebenarnya selepas saya menyerahkan surat kepada Gani
Patail, dan memberitahu dia dipecat dari jawatan peguam negara, katanya, beliau
sudah menjangka ia akan berlaku.
"Ada dua peringkat proses bagi memecat Abdul Gani.
Pertama surat kepada Yang di-Pertuan Agong memaklumkan mengenai pemecatan itu,
dan diikuti dengan sepucuk surat daripada Najib yang dialamatkan kepada Abdul
Gani bagi memaklumkan mengenai pemecatannya.
"Saya dipanggil Najib untuk menandatangani surat itu
dan memberikannya kepada Abdul Gani, dan diarah memberitahunya mengenai
pemecatan, di samping melarang beliau daripada membawa apa-apa dokumen keluar
dari pejabat,” katanya.
Sri Ram: Tahukah anda apa yang mendorong kepada hilang
keyakinan (terhadap Abdul Gani) itu?
Ali: Pada masa itu ada beberapa isu berhubung timbalan
perdana menteri ketika itu, Muhyiddin. Saya dimaklumkan oleh Najib bahawa Abdul
Gani dan Muhyiddin bertemu di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur. Itu
mungkin sesuatu yang boleh menjadi isu.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Abdul Gani dikatakan
sedang menyediakan pertuduhan berkaitan isu 1MDB sebelum beliau digantikan
dengan Mohamed Apandi Ali pada 2015.
Semasa ditanya apa yang berlaku kepada bekas Ketua
Pesuruhjaya SPRM, saksi itu berkata Abu Kasssim Mohamed berhasrat untuk
berhenti pada Ogos 2016 selepas mengalami masalah sakit belakang.
Najib, 66, diwakili oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah,
manakala Arul Kanda, 43, diwakili oleh N Sivananthan.
Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya bagi
mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan
terhadapnya.
Beliau didakwa - atas kedudukan sebagai pegawai awam iaitu
perdana menteri - menggunakan jawatannyna untuk mendapatkan suapan bagi
dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil
atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan
Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu
dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung
mempunyai kepentingan.
Najib didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks
Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta
sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum
lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan
itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut
mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib meminda
laporan itu bagi melindungi bekas perdana menteri daripada dikenakan tindakan
tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut
Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta
sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi
Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan, bersambung esok.
- Bernama


