Rayuan bekas Ketua Pemuda PKR Ampang Adam Rosly Abdullah
terhadap sabitan dan hukuman penjara enam bulan dan denda RM30,000 bagi
kesalahan memberi pernyataan dan mengemukakan dokumen palsu kepada Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada
25 November ini.
Loading...
Pesuruhjaya Kehakiman Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan
tarikh itu selepas peguam Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir mewakili Adam,
sebagai perayu memaklumkan pihaknya baru menyerahkan hujahan tambahan kepada
pihak pendakwaan dan memerlukan masa untuk menelitinya.
Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim bertindak bagi
pihak pendakwaan.
Adam,31, merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kuala
Lumpur pada 26 April 2018 yang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda
RM30,000 selepas mendapati dia bersalah atas enam pertuduhan memberi pernyataan
dan mengemukakan dokumen palsu kepada SPRM ketika siasatan berhubung dakwaan
kemewahan luar biasa yang dimilikinya.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Adam didakwa memberi
pernyataan palsu kepada dua pegawai penyiasat SPRM ketika percakapannya dirakam
mengikut Seksyen 32 (8) (c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan
Pembiayaan, Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
loading...
Pernyataan palsu itu adalah berhubung kerjayanya sebagai
ahli perniagaan, pendapatan, kenderaan mewah, rumah banglo bernilai RM1.2 juta
di Kampung Melayu Ampang yang dibeli secara tunai, pinjaman wang RM200,000
daripada ibu mentua dan arwah neneknya serta pinjaman wang RM500,000 daripada
along.
Bagi pertuduhan ketiga sehingga keenam, lelaki itu dituduh
menggunakan suatu dokumen palsu iaitu dua perjanjian persetujuan pinjaman wang
daripada dua individu dan dua baucar tunai daripada syarikatnya, Gegas Mentari
Holding Sdn Bhd dengan niat untuk memperdaya pegawai penyiasat SPRM mengikut
Seksyen 89 akta yang sama.
Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Ibu Pejabat
SPRM, Blok D6, Parcel D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya,
antara 9 pagi dan 12.15 tengah hari 10 Feb 2017, dan antara 9 pagi dan 2
petang, 22 Feb tahun sama.
Kesemua pertuduhan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3
juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
-Bernama


