Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menganggap
bantahan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) berkaitan
pengenalan pembelajaran jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) satu usaha yang
tidak wajar dilakukan oleh persatuan tersebut.
Presidennya, Jasni Md Kechik berkata, bantahan itu
menunjukkan tindakan tidak sopan persatuan tersebut dalam sistem pendidikan
kebangsaan.
Loading...
Menurutnya, acapkali Dong Zong melakukan bantahan dalam
sistem pendidikan negara termasuk Penyata Razak 1950, Akta Pendidikan 1961,
Laporan Abdul Rahman Talib dan Laporan Pendidikan Kabinet 1979.
“Selain itu, Dong Zong turut membantah program membaca, menulis
dan mengira, perhimpunan sekolah dalam bahasa kebangsaan serta program sekolah
integrasi pada tahun 1980-an serta menuntut pengiktirafan ijazah dari Taiwan
dan China.
loading...
“Sewajarnya pihak Dong Zong mematuhi sistem pendidikan
kebangsaan dan perlu taat kepada raja dan negara serta menjunjung Perlembagaan
negara ini,” katanya.
Tambahnya, Dong Zong juga mendesak Sijil Peperiksaan Bersama
(UEC) turut diterima oleh kerajaan sedangkan sijil itu tidak mengikut sistem
pendidikan kebangsaan yang perlu dipatuhi serta tidak adil kepada anak Cina
yang belajar di sekolah menengah kebangsaan (SMK).
Mengulas pembelajaran jawi di SJK, Jasni memberitahu ia
sudah dinyatakan dalam Dokumen Standard Kurikulum Sekolah Rendah iaitu
mengenali tulisan jawi pada objek persekitaran yang terdapat dalam kehidupan
harian.
"Ia hanya sebahagian kecil yang dikecohkan oleh Dong
Zong," katanya.
Jasni menambah, aspek seni bahasa dilaksanakan untuk
menyokong kemahiran bahasa dan tidak ditaksir serta pelaksanaan tulisan jawi di
SJK dilaksanakan secara pilihan dengan persetujuan daripada Persatuan Ibu bapa
dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid.
“Diharap Dong Zong mematuhi arahan yang ditetapkan dan
jangan menjadi badan yang mencetuskan kekeliruan dan kekacauan masyarakat
berbilang kaum di negara ini yang sudah merdeka lebih 60 tahun,” katanya. - Sinar Harian


