Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 28 Jan depan
untuk keputusan permohonan rayuan Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas berhubung
prosiding komital yang difailkan bapa anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim
terhadapnya pada 16 Julai lepas.
Hakim Datuk Meor Hashimi Abd Hamid menetapkan tarikh
tersebut selepas mendengar keterangan dan hujahan daripada pihak berkaitan
berhubung kes berkenaan.
Loading...
Ia susulan pada 27 Ogos lepas, Koroner Rofiah Mohamad
membenarkan prosiding komital itu didengar di Mahkamah Koroner di sini sebelum
Peguam Negara memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan tersebut,
dua hari kemudian.
Bagi permohonan rayuan itu, Tommy melantik dua peguam swasta
mewakilinya iaitu Zainur Zakaria dan Datuk S. Ambiga selain Peguam Kanan
Persekutuan, S. Narkunavathy serta Markiranjit Kaur manakala keluarga Muhammad
Adib diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.
loading...
Ambiga ketika ditemui pemberita selepas prosiding hari ini
berkata antara hujahan dikemukakan pihaknya adalah mempertikaikan kelewatan
keluarga Muhammad Adib memfailkan permohonan komital (menghina mahkamah)
terhadap Peguam Negara berkaitan inkues kematian anggota bomba tersebut.
“Permohonan untuk komital difailkan pada Julai manakala
kenyataan (Peguam Negara) itu dibuat pada 23 Mei 2019, iaitu dua bulan
kemudian.
“Untuk prosiding menghina mahkamah, mereka memfailkan
terlalu lewat,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Haniff berkata pihaknya telah
kemukakan hujahan berkaitan permohonan komital itu dan berpuas hati dengan
hujahan yang dikemukakan.
Pada 16 Julai lepas, bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul
Hamid memfailkan permohonan perintah komital terhadap Tommy kerana menghina
mahkamah berkaitan prosiding inkues bagi mencari punca kematian anaknya.
Permohonan ex-parte itu dibuat melalui Tetuan Mohd Zubir
Embong & Associate di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan
Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera
parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada
27 Nov tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis di Institut
Jantung Negara. - Bernama


