Isu peningkatan populasi babi hutan di negeri Melaka yang
sering kedengaran di media sosial dan bibir media tahun ini membayangi laporan
mengenai usaha kerajaan negeri membanteras haiwan perosak yang menjadi mimpi
gelap rakyat terutama golongan petani.
Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri
Asas Tani Melaka Norhizam Hassan Baktee pada Persidangan Dewan Undangan Negeri
Melaka pada November menjelaskan pihaknya berjaya menghapuskan lebih 400 ekor
babi hutan setahun, angka didakwanya jauh lebih banyak daripada operasi
penghapusan dijalankan kerajaan terdahulu.
Loading...
Temubual bersama beberapa petani yang terkesan akibat
gangguan babi hutan yang mana menurut mereka upah RM50 seekor perlu dikeluarkan
mereka bagi menembak seekor babi hutan dan usaha Norhizam itu amat membantu
menjimatkan kos operasi mereka selain menjamin keselamatan rakyat yang terkesan
dengan angkara haiwan itu.
Bagaimanapun, Norhizam bagaikan menembak kakinya sendiri
melalui sebuah akbar berbahasa Inggeris apabila mendakwa sebab peningkatan
populasi babi hutan di negeri ini adalah akibat babi hutan dari Sumatera,
Indonesia berenang mencari habitat baharu di sini.
Dakwaan Norhizam itu bercanggah dengan kenyataan Ketua
Menteri Melaka Adly Zahari yang menjelaskan populasi haiwan itu masih terkawal
dan tidak mengancam keselamatan rakyat negeri ini dan ini menimbulkan lebih
banyak tanda tanya akan populasi babi hutan di negeri itu.
Mengetahui sejauh mana dakwaan babi hutan berenang merentas
Selat Melaka itu benar, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof
Dr Ahmad Ismail yang menjelaskan tiada bukti atau laporan spesifik akan perkara
itu. Bagaimanapun, kajian mengenai dakwaan pertambahan populasi haiwan di
kawasan terbabit perlu dilakukan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka, Mohd Hasdi Husin juga menjelaskan perkara sama yang mana babi hutan diketahui mampu berenang sejauh 16km sedangkan jarak Sumatera dan Melaka pula sekitar 60km. Apapun kajian DNA sedang dilakukan sejak awal bulan lepas dan hasil ujian itu belum lagi diumumkan sehingga berita ini ditulis.
Selain isu babi hutan, Melaka terus menjadi perhatian media
dan orang ramai pada 2019 apabila seorang warga Singapura yang bekerja sebagai
penghantar makanan dituduh membunuh isteri dan anak lelaki tirinya dan mengerat
mayat mereka.
Berikutan penemuan ngeri lapan anggota badan manusia di
Krubong pada 10 Okt lepas, Shahrul Nizam Zuraimy, 31, didakwa membunuh
Norfazera Bidin, 27, dan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun di sebuah rumah
di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam pada awal Oktober.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang
membawa hukuman mati jika sabit kesalahan dan tiada pengakuan direkodkan di
hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.
Ketua Polis Melaka Datuk Mat Kasim Karim dan anggota
keluarga mangsa memohon orang ramai supaya menghentikan penularan bahan
mengenai kes itu bagi menghormati privasi keluarga mangsa. Bagaimanapun, media
mengasak keluarga mangsa untuk ditemubual menimbulkan sedikit kekecohan serta
menerbitkan maklumat yang tidak sepatutnya.
-Bernama


