Sebarang usaha untuk menyiasat dakwaan jenayah perang di
wilayah Palestin sebenarnya sudah lama tertangguh, kata Dr Mahathir Mohamad.
Perdana menteri berkata Israel seharusnya berdepan
pengadilan berikutan kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.
Loading...
"Israel harus dibicarakan oleh Mahkamah Jenayah
Antarabangsa (ICC) kerana membunuh orang, kerana mencuri wilayah orang lain,
kerana membina penempatan di tanah orang lain. Semua ini adalah jenayah,"
kata beliau dalam sidang akhbar pada hari terakhir Sidang Kemuncak Kuala Lumpur
(Sidang Kemuncak KL) 2019 hari ini.
Perdana menteri ditanya mengenai laporan bahawa ICC bersedia
untuk menyiasat jenayah perang yang didakwa berlaku di wilayah Palestin.
Dr Mahathir, Pengerusi Sidang Kemuncak KL, berkata Israel
telah menahan kapal misi kemanusiaan yang disertai warga Malaysia di perairan
antarabangsa.
“Tak boleh buat begitu dalam kawasan perairan antarabangsa.
Jika berada dalam kawasan perairan mereka, ya, mereka boleh ambil tindakan,
tapi kita di kawasan perairan antarabangsa.
“Mereka datang dengan bot-bot bersenjata, mereka tahan kapal
kita, bawa ke pelabuhan mereka, dan sampai sekarang kita tidak tahu sama ada
bantuan buat Gaza sampai atau tidak,” katanya dan menambah tindakan Israel itu
turut mengakibatkan kematian.
“Tapi seluruh dunia bukan sahaja menutup sebelah mata,
mereka menutup kedua-dua mata, tutup mulut mereka, dan telinga mereka juga,”
kata Dr Mahathir yang memang terkenal dengan suara lantang mengecam keganasan
Israel.
Penderitaan rakyat Palestin diketengahkan di Sidang Kemuncak
KL yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin seperti Emir Qatar Sheikh Tamim bin
Hamad Al Thani, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran Hassan
Rouhani.
Menjawab satu soalan berhubung sekatan, Dr Mahathir berkata
Malaysia secara umumnya tidak percaya dengan tindakan sedemikian kerana ia
turut memberi kesan kepada negara lain, selain daripada negara yang disasarkan.
Mengambil contoh sekatan yang dikenakan terhadap Iran, Dr
Mahathir berkata Malaysia juga menerima kesan daripada tindakan itu kerana Iran
adalah rakan dagang yang besar kepada negara.
“Perbuatan ini hanya boleh dilakukan oleh sebuah negara yang
berkuasa. Saya ingin mengenakan sekatan terhadap (Presiden Amerika) Trump, tapi
tak boleh, sebab saya insan kerdil (tidak berkuasa), tapi dia boleh kenakan
sekatan terhadap semua negara, dan kita yang menderita,” katanya.
- Bernama


