Foto Malay Mail
Najib Razak hari ini membuat pusingan U di Mahkamah Tinggi
di Kuala Lumpur dengan menafikan beliau ada berhubung dengan ahli perniagaan
dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low berkenaan pengurusan akaun peribadi
beliau.
Pada 9 Jan lalu, bekas perdana menteri itu mengaku di
Mahkamah Tinggi bahawa beliau beberapa kali ada berhubung dengan Jho Low
berkenaan operasi akaun peribadi Ambank beliau.
Loading...
Najib mengakui bahawa Jho Low pada masa-masa tertentu
berhubung dengannya untuk memastikan transaksi kad kredit dan ceknya dapat
ditunaikan.
Najib membuat pengakuan tersebut semasa pemeriksaan balas
oleh Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram.
loading...
Bagaimanapun, semasa pemeriksaan semula oleh peguam belanya,
Harvinderjit Singh, hari ini, Ahli Parlimen Pekan berusia 67 tahun itu,
berkata, beliau hanya berhubung dengan Jho Low berkaitan dengan sumbangan derma
oleh Arab Saudi ke dalam akaunnya.
Harvinderjit: Dalam proses perbicaraan tahun lalu, bekas
pengurus perhubungan Ambank, Joanna Yu menyatakan hubungan dengan Jho Low dalam
mengurus akaun anda...Jho Low menerusi log perbualan dengan Joanna mengambarkan
bahawa dia telah menerima teks daripada anda berhubung kad kredit
(perbelanjaan).
Adakah anda berhubung dengan Jho Low mengenai pengurusan
akaun anda ?
Najib: Tidak
Harvinderjit: Mengapa Joanna berurusan dengan Jho Low
walaupun Jho Low tidak mempunyai kuasa untuk mengurus akaun anda?
Najib: Anda harus bertanya hal ini dengan Joanna.
Memberi keterangan membela diri terhadap tujuh pertuduhan
menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, Najib berkata
kebanyakan masa beliau berurusan dengan bekas ketua setiausaha sulitnya,
Allahyarham Azlin Alias berhubung akaun banknya.
Beliau turut berkata Azlin mungkin berhubung dengan Jho Low
mengenai akaun banknya.
Di akhir prosiding, Harvinderjit memberitahu mahkamah bahawa
pihak pembelaan akan memanggil seorang kakitangan Ambank, Krystle Yap Wy-Sze
untuk memberi keterangan esok ketika Najib dijangka menyelesaikan keterangannya
sejak 3 Dis lalu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali
bersambung esok.
- Bernama


